Featured Posts

Salahuddin Al-Ayyubi Petikan dari Abul Hassan ali Nadwai, Saviors of Islamic Spirit Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurd biasa (Poole, 1914). Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains...

Read more

MUS’AB BIN UMAIR:Pemuda Dakwah Berikut kisah Mus'ab bin Umair: Mus’ab bin Umair adalah sahabat Rasulullah S.A.W. yang sangat berjasa dan menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman. Sebelum memeluk Islam, dia berperawakan...

Read more

Khalifah Umar Abdul Aziz Baru satu abad telah berlalu, namun keadaan umat Islam jauh sekali berbeza berbanding dengan zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya dahulu. Bibit-bibit jahiliyah yang dihapuskan Rasulullah s.a.w....

Read more

MISTERI TERBELAHNYA BULAN Allah berfirman: "Sungguh telah dekat hari qiamat, dan bulan pun telah terbelah (Q.S. Al-Qamar: 1)" Dalam temu wicara di televisi bersama pakar Geologi Muslim, Prof. Dr. Zaghlul Al-Najar, salah...

Read more

yusuf al-qardhawi Sejarah Hidup dan Pemikiran 1.         Hubungan dengan Muhammad al-Ghazali 2.         Rakan-rakannya. 3.         Ilmu-ilmu yang diminatinya. 4.         Pekerjan...

Read more

  • Prev
  • Next

hadist di bulan ramadhan al mubarak

Category : Agama

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda : “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekalian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelebihan bulan Ramadhan ialah meluasnya rahmat dan kasih sayang Allah SWT dan pada masa yang sama Allah SWT menutup pintu neraka dan merantai segala syaitan yang berkeliaran. Umat Islam yang berpuasa pada bulan Ramadhan serta mengamalkan segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang ditegah serta tidak berpuasa melainkan kerana iman dan tidak kerana riya’ (agar dilihat orang), sum’ah (agar didengar orang), ikut-ikutan, maka baginya keuntungan dan pahala yang berlipat ganda banyaknya bahkan syaitan sedikitpun tidak diberi kesempatan untuk menggoda atau menghasut mereka. Bagi orang yang berpuasa tetapi masih bergelumang dengan dosa bermakna bahawa puasanya sama sekali tidak bermanfaat baginya. Yang diperolehinya hanyalah lapar dan dahaga dan Allah SWT tidak akan menerima amalannya. Dia lebih mengutamakan nafsunya. Demikianlah dia masih melakukan kemungkaran walaupun tidak digoda syaitan.

———————————————————————————————–

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda ; “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam Al Ghazali berkata, “Betapa banyak orang berpuasa yang sebenarnya berbuka, dan yang berbuka padahal berpuasa”. Yang berbuka tetapi sebenarnya berpuasa adalah yang makan dan minum, tetapi menjaga seluruh anggota tubuhnya dari perbuatan dosa. Dan yang berpuasa tetapi sebenarnya berbuka adalah yang lapar dan dahaga, tetapi tercemar anggota tubuhnya dengan perbuatan dosa.

Sesungguhnya iman dan nafsu yang jahat tidak mungkin boleh bersama kerana mustahil orang yang kuat imannya disertai oleh nafsu yang liar. Begitu juga tidak akan berlaku orang yang bernafsu liar mendakwa imannya kuat. Maka bulan Ramadhan merupakan peluang bagi umat Islam menundukkan nafsunya kerana peningkatan iman tidak akan berlaku sekiranya nafsu gagal dijinakkan. Sedangkan seseorang itu hanya akan mencapai tahap jihad yang paling tinggi apabila terlebih dahulu berjaya mengekang dan menjinakkan nafsu dalam dirinya.

“Dengan penuh keimanan” sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis di atas bermaksud yakin dengan janji-janji Allah S.W.T dan melaksanakan perintah-perintah Allah dengan penuh keikhlasan iaitu mencari keredhaan daripada Allah semata-mata, bukan berpuasa sekadar ikut-ikutan dengan tujuan untuk berbangga-bangga (riya’), mendapatkan pujian atau habuan dunia.

Antara keistimewaan puasa ialah Allah S.W.T. akan menggandakan pahala bagi orang-orang yang berpuasa melebihi amalan-amalan yang dilakukan pada bulan-bulan yang lain. Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan ketaqwaan serta mengharapkan keredhaan Allah, maka baginya keampunan dari segala dosa-dosa yang pernah dilakukan itu. Ramadhan adalah bulan yang paling mulia di mana di dalamnya terkandung seribu keberkatan. Malah pada bulan inilah juga Allah S.W.T menurunkan kitab al-Quran.

———————————————————————————————–

Rasulullah s.a.w. bersabda : “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla Berfirman : “Melainkan puasa, kerana ianya untukKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu”. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan : Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Misk (minyak wangi kasturi). (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara keistimewaan puasa ramadhan ialah Allah akan menggandakan pahala bagi orang-orang yang berpuasa melebihi dari amalan-amalan lain sehingga Allah sendiri yang akan menentukan kadar pahala itu di akhirat. Puasa adalah merupakan ibadat yang paling hampir dengan Allah iaitu bagi mereka yang mengikhlaskan diri kepada Allah. Ini kerana puasa merupakan rahsia antara hamba dan Tuhannya.

Dua kegembiraan yang dikurniakan oleh Allah kepada hambanya yang berpuasa :

  1. Gembira ketika berbuka puasa dengan hidangan yang lazat apatah lagi semasa perut sedang lapar dan dahaga.
  2. Gembira kerana akan dapat menemui dan melihat Allah di dalam syurga kelak. Dan inilah nikmat yang agung yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang beriman.

———————————————————————————————–

Daripada Aisyah r.a. katanya : “Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan apabila sampai hari yang ke sepuluh terakhir daripada bulan Ramadhan, baginda juga membangunkan isterinya agar beribadat (sembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya). Baginda juga menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Islam menuntut umatnya yang berpuasa agar berusaha untuk menambahkan amal ibadat mereka apabila masuk hari yang kedua puluh satu Ramadhan sehingga akhir, kerana di malam-malam tersebut akan berlaku Lailatul Qadar. Oleh itu adalah sangat digalakkan untuk kita memperbanyakkan amal ibadat beriktikaf di dalam masjid melakukan sembahyang-sembahyang sunat seperti sunat taubat, sunat tahajjud, sunat tasbih, sunat hajat dan sebagainya selain daripada sunat tarawikh, membaca al-Quran dan berzikir. Bagi para suami, inilah saatnya merebut peluang beribadah bersama keluarga dengan mengajak isteri mereka bangun beribadat bersama-sama. Mudah-mudahan rumahtangga yang dibina sentiasa aman dan mendapat rahmat daripada Allah SWT.

———————————————————————————————–

Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. ia berkata : “Dinampakkan dalam mimpi seorang lelaki bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam kedua puluh tujuh, maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Saya pun (Nabi) bermimpi seperti mimpimu, (dinampakkan pada sepuluh malam terakhir) maka carilah ia (Lailatul qadar) pada malam-malam yang ganjil”. (Riwayat Muslim)

Malam Lailatul Qadar adalah malam rahsia, yang turun padanya Malaikat Jibril dan malaikat-malaikat yang lain ke bumi dengan perintah Allah. Setiap ibadat yang dilakukan pada malam lailatul qadar dengan penuh ikhlas, insyaAllah amalannya akan diterima oleh Allah dan diampunkan semua dosanya yang telah lalu.

Allah SWT memperuntukkan satu malam di bulan Ramadan malam penuh syahdu dan berkat. Malam yang ditunggu-tunggu oleh para Anbiya’ dan para salihin yang tidak terdapat di bulan-bulan lain iaitu “Lailatul Qadar”. Pada malam inilah Allah menurunkan Al-Quran. Lailatul Qadar berlaku pada mana-mana sepuluh malam terakhir iaitu pada malam-malam ganjil.

Kita seharusnya menginginkan malam tersebut walau sekali seumur hidup tetapi malam itu tidak akan datang bergolek, hendaklah kita berusaha dan berdoa untuk mendapatkannya. Beramal pada malam tersebut akan mendapat ganjaran seperti beramal 1000 bulan atau lebih 83 tahun. Doa kita dikabulkan Allah SWT. Pintalah apa-apa yang munasabah untuk dunia dan akhirat, untuk diri, anak isteri dan ibu bapa serta sekalian muslimin muslimat.

Ulama menyatakan amalan yang sebaik-baiknya kita lakukan di malam Lailatul Qadar (yakni menghidupkan malam tersebut) ialah :

  • Memohon ampun segala dosa yang terdahulu (Istigfar)
  • Mengerjakan solat-solat sunat dan solat Qada’
  • Membaca Al-Quran
  • Berzikir dan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW
  • Memperbanyakkan membaca doa : [ Maksudnya: "Ya Allah! Engkau yang Maha Pemaaf (Pengampun), kasih kepada kemaafan maka maafkan aku (ampun)". ]
  • Pada malam tersebut hendaklah solat Isyak berjemaah dan Subuhnya juga berjemaah